PENGURUSAN PUSAT PELUPUSAN

BTEP diurus dan diselenggarakan oleh tenaga kerja yang berpengalaman dan dilengkapi dengan pelbagai jenis trak, jentera pemampat dan jentolak. Pasukan ini bekerja bergilir-gilir dalam 3 syif, tujuh hari seminggu.

Ia juga dilengkapi dengan sistem kad pintar untuk pengenalan kenderaan dan rakaman data di jambatan timbang.

Kawasan untuk pelupusan sisa pepejal dirancang dan ditentukan setiap hari.

Jentera pemampat dan jentolak digunakan untuk memampatkan sampah dan menutup sisa pepejal pada setiap hari bagi mengekalkan kebersihan, mencegah bau busuk dan mencapai kapasiti maksimum.

Program latihan komprehensif dijalankan secara berterusan untuk melatih pasukan bagi memastikan tahap piawaian optimum sentiasa dicapai. Ini termasuk taklimat dan ujian percubaan terhadap prosedur keselamatan dan kecemasan. Satu pasukan terlatih ditugaskan khusus bagi menyelenggarakan loji rawatan leachate yang beroperasi sepanjang masa.

Pemelihararan Alam Sekitar

  • BTSL mempunyai sistem perlindungan alam sekitar yang lengkap dengan implementasi komponen-komponen pemeliharaan berikut:

    • Pelan pengurusan air permukaan
    • Pelan pengurusan leachate
    • Pengawasan alam sekitar
    • Sistem amaran awal dan benteng kecemasan

Loji Rawatan Leachate

Sebuah loji rawatan leachate yang berteknologi tinggi telah dibina untuk merawat air larut resap yang terhasil dari tapak pelupusan. Kaedah rawatan loji adalah berdasarkan tindak balas biologi dengan bahan kimia untuk mencapai tahap rawatan yang ditetapkan. Loji ini dilengkapi dengan 8 lagun rawatan (SBR), 48 kipas pengudaraan, sistem takungan dan suntikan bahan kimia, tangki pengimbang, loji pemekat mendapan dan sebuah loji pengapungan udara terlarut. Sistem SCADA mengawal semua pam dan injap, membolehkan loji beroperasi secara automatik. Loji ini berkapasiti dalam mengendalikan lebih daripada 2,000 meter padu leachate sehari.

Leachate terawat disalurkan ke tapak rumpaian untuk rawatan terakhir. Tapak rumpaian terdiri daripada tumbuhan spesis Phragmites yang berupaya menyerap sisa-sisa leachate yang telah dirawat untuk meningkatkan lagi kualiti rawatan. BTEP adalah tapak pelupusan pertama dan satu-satunya tapak pelupusan di rantau ini yang menggunakan proses ini dalam rawatan leachate.

4 buah kolam takungan di tapak ini menyediakan kapasiti takungan sebanyak 180,000 meter padu untuk menampung aliran leachate yang tinggi semasa musim tengkujuh. Kolam-kolam takungan ini juga mampu menakung leachate semasa loji rawatan leachate diselenggarakan.

Pengurusan Pusat Pelupusan

Pengurusan leachate yang efektif memainkan peranan penting dalam operasi tapak pelupusan di kawasan beriklim tropika. BTEP memantau pengeluaran, takungan dan kadar rawatan leachate secara terperinci untuk menentukan keperluan takungan dan rawatan semasa dan masa hadapan.

BTEP mengendalikan 4 kolam takungan anaerobik untuk menakung leachate yang belum dirawat. Kapasiti takungan yang besar adalah sebagai penyediaan sistem keselamatan untuk menampung lebihan leachate semasa musim tengkujuh apabila penghasilan leachate melebihi kadar rawatannya.

Sistem pengurusan leachate memberikan amaran awal dan membolehkan tindakan pencegahan diambil untuk menangani keperluan takungan. Ia juga membantu pengendali bagi menentukan masa untuk menaiktaraf loji rawatan pada masa akan datang.

Sistem Pengurusan Air Permukaan

Lebihan air permukaan dan air hujan dilencongkan daripada fasa-fasa aktif tapak pelupusan dan dialirkan melalui parit-parit permukaan ke saluran air terbuka, perangkap mendapan dan kolam takungan.

Litupan tanah diturapkan setiap hari ke atas sampah yang dipadatkan untuk mencegah air hujan daripada memasuki sistem pengumpulan leachate dan mencegah pembentukan leachate yang berlebihan.

Perangkap mendapan sentiasa diselenggarakan bagi mengekalkan kualiti air permukaan.

Pengurusan Kumbahan Terawat

BTEP mengamalkan polisi pelepasan sifar untuk air kumbahan yang telah dirawat. Air kumbahan terawat yang memenuhi piawaian tidak dialirkan ke saluran air terbuka tetapi disalir dan disiramkan di sebidang tanah lapang seluas 120 ekar.

Ini membolehkan air kumbahan terawat diserap melalui proses sejat transpirasi dan lembapan tanah bagi menggalakkan perlindungan alam sekitar yang optima.

Ujian Kualiti Leachate

Ujian harian, mingguan dan dwimingguan dijalankan untuk mendapatkan parameter leachate yang belum dan telah dirawat. Ini membolehkan penilaian dijalankan terhadap ciri-ciri leachate yang belum dirawat dan perubahan kualiti air kumbahan dari masa ke semasa.

Ujian Harian Kumbahan Terawat
Ujian harian terhadap leachate yang terawat dijalankan di lagun SBR bagi memastikan rawatan yang efektif. Berdasarkan ujian-ujian ini, kadar rawatan boleh diselaraskan untuk kitaran rawatan yang seterusnya. Ujian harian dijalankan untuk mendapatkan bacaan berikut: pH, Nitrogen ammonia, Nitrat, Nitrit, Oksigen terlarut.

Ujian Mingguan Leachate Terawat di Lagun SBR dan Batas Rumpaian
Ujian mingguan leachate terawat dijalankan di tangki pengimbangan leachate terawat (TLBT) dan ruang buangan pengaliran (IDC) untuk menilai keberkesanan jangka panjang lagun-lagun SBR dan batas rumpaian.

Ujian Dwimingguan Leachate Mentah dan Terawat
Leachate mentah dan terawat dihantar ke makmal-makmal bebas setiap dua minggu untuk ujian-ujian terperinci. Hasil ujian terkandung dalam Laporan Pemantauan Alam Sekitar dan dijadikan rujukan dalam kajian jangka panjang ciri-ciri perkembangan leachate. Sampel-sampel akan diambil dari semua kolam takungan dan ruang leachate terawat.

Pengawasan Alam Sekitar

Ujian pemantauan kualiti air permukaan dan air bawah tanah dijalankan setiap bulan di BTEP. Antara parameter utama yang diuji ialah kandungan nitrit, pH, ammonia, e-coli, pepejal terampai dan logam surih.

Lain-lain Pemantauan
Kualiti udara dan tahap bunyi persekitaran dipantau setiap suku tahun untuk dilaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar melalui Laporan Suku Tahun Pemantauan Alam Sekitar. Laporan-laporan ini juga memaparkan parameter-parameter tersebut diatas.

 

Sistem Kecemasan

BTEP dilengkapi dengan sistem tindak balas kecemasan dan benteng pembendungan leachate untuk mencegah leachate daripada meresap masuk ke dalam saluran air terbuka. Leachate ditambak oleh benteng tersebut sementara kerja-kerja pembaikan dijalankan. Langkah keselamatan ini melebihi syarat yang diwajibkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan terdiri daripada komponen-komponen berikut:

    • Meter aliran berterusan di benteng pengawasan
    • Empangan tahanan untuk kawasan tadahan
    • Benteng pembendungan di loji rawatan dan kolam takungan

Benteng Pengawasan
Benteng pengawasan juga merupakan empangan tahanan untuk menahan air tercemar yang telah dikesan oleh meter aliran. Air yang tercemar disalurkan semula ke kolam takungan leachate mentah.

Permatang Pembendungan
Benteng pembendungan berkapasiti 100,000 meter padu. Ia dikendalikan oleh sistem injap untuk pengasingan sekiranya berlaku penumpahan atau kebocoran leachate mentah.